Sambutan Hari Malaysia esok menjadi signifikan kepada Sandakan dari segi pembangunan di daerah yang terletak di timur Sabah itu.

Pernah digelar Little Hong Kong pada suatu ketika dahulu, kini daerah ini pesat membangun yang turut disumbangkan oleh komitmen bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan persekutuan selain hasil perjuangan para pejuang kemerdekaan negeri melalui pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.

Chan Tzun Hei, seorang aktivis belia di sini menyifatkan pelbagai pembangunan dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat Sandakan tanpa disedari.

Katanya sebagai anak watan Sandakan, beliau berkata pembentukan Malaysia membabitkan penyatuan 13 negeri di Persekutuan Malaysia menjadi faktor penting kepada pembangunan di setiap negeri dan pelusuk kawasan di negara ini.

Menurutnya kerajaan persekutuan yang diwujudkan menerusi penyatuan itu telah menjalin kerjasama rapat dengan semua negeri dalam melaksanakan pembangunan.

Pembangunan Sandakan yang ada pada hari ini tidak wujud dalam sekelip mata sebaliknya ia hasil perjuangan pemimpin di negeri ini dan persekutuan dengan sokongan daripada masyarakat Sandakan, katanya kepada Bernama di sini.

Chan yang merupakan Penasihat Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Sandakan mahu usaha untuk membangunkan Sandakan perlu diterus dan dipertingkat demi generasi yang akan datang.

“Kita tidak boleh berasa puas hati dan perlu sentiasa berpandangan jauh dan ke depan,” katanya.

Menyentuh pembangunan di daerah ini, Chan berkata antara yang dikecapi adalah wujudnya Harbour Square dan Harbour Mall, pusat membeli-belah di Bandar Sandakan serta pembukaan Fourpoint By Sheraton, hotel empat bintang pertama di daerah ini.

Katanya ini ditambah dengan wujudnya beberapa Bandar Satelit baharu yang mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan.

Menurutnya antara bandar satelit tersebut adalah Bandar IJM Utama di Batu 6, Bandar Prima dan Mid Town di Batu 4.

Chan berkata projek pembangunan yang lebih signifikan adalah Terminal Bas Ekspres Bersepadu dan New Sandakan City yang masih dalam pembinaan.

Katanya kedua-dua projek ini akan menjadi tanda baharu untuk Sandakan bagi meningkatkan pelancongan domestik dalam negeri untuk terminal bas bersepadu dan tumpuan aktiviti komersial di New Sandakan City.

Beliau berkata pembinaan Jalan Lintas Utara dari Batu 7 hingga ke Batu 2 merupakan faktor penting kepada pembangunan di daerah ini dan mengatasi kesesakan lalu lintas di Jalan Utara sebelum ini.

Menurutnya pembukaan Jalan Lintas Utara menyaksikan pembangunan di kawasan sepanjang jalan tersebut seperti pembukaan taman perumahan dan bandar satelit yang baharu.

Katanya taman perumahan tersebut antaranya Taman Nasa Lim, Casa San Uno, Harmoni dan PR1MA, manakala bandar satelit adalah Bandar Letat Jaya, Bandar Industri Ringan Letat Jaya, SEDCO Fasa 3 dan Mid Town.

Selain itu, katanya, naik taraf Lapangan Terbang Sandakan telah menyediakan kemudahan selesa kepada penduduk daerah ini yang ingin menaiki pengangkutan udara ke Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Tawau.

Pada masa sama, katanya, kemudahan Lapangan Terbang Sandakan dapat menggalakkan aktiviti pelancongan di daerah ini yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, hidupan liar dan marin.

Chan berkata kawasan tarikan pelancongan seperti Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo dan Taman Pulau Penyu juga menerima ramai kehadiran pelancong.

Justeru, sebagai anak watan Sandakan, beliau bersyukur dan berterima kasih atas pembangunan yang dikecapi hasil komitmen bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan persekutuan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *