Saluran tradisional untuk komunikasi masih penting untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 walaupun jika ia menggunakan media sosial untuk menyampaikan mesej kepada pengundi.

Radio, televisyen dan akhbar terus menjadi saluran komunikasi yang penting di kawasan pedalaman Sarawak yang luas kerana 66 daripada 82 kawasan dewan undangan negeri terletak di kawasan itu, kata seorang pegawai BN.

Pengerusi jawatankuasa kerja Penerangan dan Hal Ehwal Awam PBB/BN Datuk Peter Minos berkata: “Kami mempunyai pasukan Cyber troopers tetapi kami juga menggunakan radio, televisyen, risalah dan ceramah untuk memberitahu rakyat tentang perkara-perkara baik yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, dalam tempoh dua tahun lepas seperti 51 inisiatif dan kejayaan,” katanya di sini hari ini.

Inisiatif-inisiatif yang membantu menjadikan Adenan sangat popular termasuk pemansuhan cukai tanah untuk tanah pertanian dan tanah kediaman untuk pekebun kecil dan pemansuhan tol di jambatan selain berusaha bagi memperkasakan pentadbiran negeri.

Minos yang juga Wali Kota Samarahan berkata media sosial lebih berkesan digunakan di kawasan bandar untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai isu-isu nasional seperti cukai barang dan perkhidmatan, kos sara hidup yang tinggi dan 1MDB.

Beliau juga berkata jentera pilihan raya PBB – tulang belakang BN yang akan bertanding di 40 kerusi majoriti Bumiputera – telah bersiap sedia sejak bulan lepas.

Semalam, Adenan selesai mengumumkan nama kesemua 82 calon BN – PBB dengan 40 kerusi, PRS 11, SUPP 12, SPDP lima, dan calon-calon langsung 13.

Setiausaha Agung BN negeri Datuk Dr Stephen Rundi berkata, calon-calon yang gagal dicalonkan harus memberi sokongan penuh kepada calon-calon BN.

“Oleh kerana sekarang pencalonan telah dipersetujui secara baik oleh kepimpinan tertinggi semua parti komponen BN dan setiap calon telah menandatangani ikrar taat setia kepada BN atau pasukan Adenan, nasihat saya kepada mereka ialah memberi sokongan penuh kepada calon BN,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *