MH Online

Laman Suara Rakyat

Saiz Anggota Pentadbiran Ikut Keperluan

Saiz Anggota Pentadbiran Ikut Keperluan

KUALA LUMPUR, Saiz anggota pentadbiran kerajaan ketika ini dibuat berdasarkan keperluan, selain demi memastikan program kerajaan dapat dilaksana dengan cekap dan menghasilkan impak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata penambahan anggota turut dibuat bagi melancarkan urusan pentadbiran.

Beliau menafikan dakwaan kononnya saiz pentadbiran kerajaan ketika ini dibuat berdasarkan pertimbangan politik.

“Kalau kita lihat struktur pentadbiran dulu, JPM ada 56 agensi, sekarang kita ada 60 agensi dengan skop tertentu yang memerlukan diwujudkan jawatan tertentu,” katanya ketika menggulung RUU peringkat jawatankuasa bagi JPM di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika ini, saiz anggota pentadbiran Perikatan Nasional (PN) membabitkan 32 menteri dan 37 timbalan menteri.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu ada 28 menteri, PN ada 32 menteri, hanya lebih empat.

“Timbalan menteri PH ada 27 dan PN ada 37 timbalan menteri, tapi kementerian sudah bertambah iaitu daripada 25 kementerian dulu (PH) sekarang kita ada 27 kementerian,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, saiz agensi di bawah JPM turut mengambil rasional fungsi dan boleh diubah pada bila-bila masa.

“Kalau ada agensi yang perlu dialih atas dasar fungsi keberkesanannya, ia boleh dilaksanakan atas persetujuan Perdana Menteri,” katanya.