Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Saham Sapura Energy Meningkat

Saham Sapura Energy Meningkat

KUALA LUMPUR, Saham Sapura Energy Bhd meningkat dalam dagangan awal hari ini selepas syarikat itu memperoleh empat kontrak baharu dan satu lanjutan dengan gabungan nilai sebanyak RM760 juta.

Pada 10.30 pagi hari ini, saham syarikat perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu naik satu sen kepada 29.5 sen, dengan 45.39 juta saham bertukar tangan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Sapura Energy mengumumkan kerja-kerja itu membabitkan tiga projek penggerudian dan dua kontrak untuk segmen kejuruteraan dan pembinaan tetapi tidak memberikan pecahan nilai setiap kontrak itu.

Dengan kontrak terkini bernilai RM760 juta, syarikat itu memperoleh kerja-kerja baharu bernilai RM9.3 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2019, adalah positif dan bukti utama kepada pemulihan kitaran sektor minyak dan gas selain peningkatan yang berterusan dalam Sapura Energy.

“Kontrak tersebut dengan pelaksanaan langkah mengurangkan nisbah hutang yang berterusan, akan meletakkan Sapura Energy pada kedudukan yang lebih kukuh, dari segi operasi dan kewangan hingga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2020,” menurut Maybank Investment Bank dalam nota hari ini.

Bank pelaburan itu mengekalkan saranan belinya ke atas Sapura Energy dengan harga sasaran 12 bulan pada 55 sen.

Leave a Reply

Top