Dalam maklumannya di Bursa Malaysia semalam, Gamuda berkata, pihaknya akan memastikan rancangan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya seperti yang dicadangkan kerajaan, dibuat berdasarkan norma dan amalan penilaian pasaran.

“Gamuda sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan berkaitan cadangan pengambilalihan itu,” kata syarikat kejuruteraan dan pembinaan terkemuka itu di sini.

Saham Gamuda susut pada awal dagangan semalam susulan laporan bahawa kerajaan telah memulakan rundingan dengan syarikat itu bagi tujuan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya dengan pegangan majoritinya, sejajar hasrat untuk memansuhkan kutipan tol di kawasan tersebut.

Lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.