MH Online

Laman Suara Rakyat

Sahabat AIM Punya Rekod Cemerlang

Sahabat AIM Punya Rekod Cemerlang

KUALA LUMPUR, Kejayaan Sahabat (peminjam) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merekodkan hampir 100 peratus bayaran balik pinjaman perlu dicontohi peminjam institusi kewangan dan agensi pemberi pinjaman lain di negara ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata peminjam badan amanah itu mempunyai rekod prestasi yang cukup cemerlang sejak penubuhannya 32 tahun lalu.

Katanya, sehingga kini lebih 98 peratus peminjam berjaya membayar balik pinjaman dan ramai dalam kalangan mereka berjaya dalam perniagaan masing-masing menerusi pinjaman maksimum RM30,000.

Beliau berkata, ini menjadikan Sahabat AIM kelompok ekonomi yang cukup hebat dalam perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Selepas menerima pinjaman, Sahabat AIM bukan saja bekerja keras membayar balik pinjaman mereka, malah mampu berdikari. Kita mahu peminjam semasa mencontohi mereka yang berjaya melunaskan pinjaman.

“Saya difahamkan ketika ini lebih 350,000 Sahabat AIM dan badan amanah itu menyasarkan keahlian keseluruhan 400,000 menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis Aidilfitri AIM di pekarangan Menara Amanah Ikhtiar, di Bandar Sri Damansara, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah Kiting dan Pengarah Urusannya, Mohamed Shamir Abdul Aziz.

AIM komited melahirkan usahawan dengan menyediakan pelbagai bantuan mikro, bimbingan dan latihan yang berterusan, khususnya keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Mohd Radzi berkata, bentuk bantuan diperlukan Sahabat AIM perlu melalui proses penambahbaikan berterusan supaya dapat dikembangkan dari semasa ke semasa.

“Pembayaran balik mengikut masa ditetapkan oleh Sahabat AIM adalah sikap terpuji yang boleh digembleng supaya modal pusingan badan amanah atau mana-mana agensi peminjam dapat dikekalkan,” katanya.