MH Online

Laman Suara Rakyat

Sah Mahdzir Ketuai TNB

Sah Mahdzir Ketuai TNB

KUALA LUMPUR, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi TNB berkuat kuasa 12 Mei 2020.

Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 1 Mei 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Mahdzir bukanlah asing kepada industri tenaga elektrik negara dan TNB sendiri kerana beliau merupakan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air dari Mei 2013 hingga Julai 2015,

Tambah beliau, sebelum itu beliau juga memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan sehingga 2018.

“Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan serta seluruh warga kerja TNB mengalu-alukan pelantikan Mahdzir yang berpengalaman luas dan tidak asing dengan industri tenaga elektrik.

“Dalam suasana yang mencabar ketika ini, kami yakin kepimpinan beliau dapat membantu TNB mengharungi cabaran semasa serta mencapai aspirasi transformasi syarikat ke arah menjadi antara 10 firma utiliti utama dunia menjelang 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahdzir merupakan bekas Menteri Besar Kedah dari Disember 2005 hingga Mac 2008, mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah menjadi pengerusi MADA (Muda Agricultural Development Authority) dan KEDA (Kedah Regional Development Authority), selain Timbalan Pengerusi Penggalakan Pelancongan Malaysia (Kementerian Pelancongan Malaysia).

Dalam pada itu, Amir Hamzah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Badri yang sebelum ini adalah Ahli Lembaga Pengarah TNB mewakili Kementerian Kewangan sejak 2018.

“Kepimpinan, bimbingan, ilmu, nasihat dan komitmen yang beliau sumbangkan sepanjang perkhidmatan memberi manfaat kepada kami semua,” katanya.