BANGI, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet dalam tempoh kurang sebulan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, undang-undang itu akan meningkatkan keberkesanan penyampaian kebajikan sosial kepada rakyat dibawa ke Kabinet secepat mungkin untuk mempercepatkan pembentangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya, beliau akan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Razak mengenai rang undang-undang baharu itu manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim akan membentangkannya pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, draf RUU itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk penelitian dari segi teknikal.

“Kerajaan serius dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kebajikan yang profesional kepada rakyat.

“Kerajaan percaya inisiatif pembangunan kerja sosial dan kebajikan melalui perundangan ini kelak akan membawa kepada suatu anjakan paradigma dan lonjakan dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bulan Kebajikan Negara 2017 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Rohani dan Timbalannya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan BELFOS nama baru bagi ‘My Beautiful Life for Seniors’ iaitu inisiatif kerajaan untuk membantu golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas memperoleh kehidupan yang produktif dan menjalani kehidupan bermanfaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, satu sesi ‘town hall’ untuk membincangkan mengenai masalah sosial dalam kalangan remaja akan diadakan dalam masa terdekat.

“Saya mencadangkan supaya sesi ini akan dilakukan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kerana ia perlu membabitkan pelbagai kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar berkaitan untuk memberi pandangan.

“Tak terkecuali pemimpin parti politik, sama ada kerajaan atau pembangkang. Mereka boleh beri pandangan yang membina demi kepentingan negara. Kalau boleh saya mahu sesi itu dianjurkan dalam tempoh selewat-lewatnya 45 hari dari sekarang,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *