MH Online

Laman Suara Rakyat

RUU Baharu Ganti IPCMC

RUU Baharu Ganti IPCMC

KUALA LUMPUR, Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), ditarik balik daripada dibentangkan untuk bacaan kali kedua, hari ini.

Keputusan itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, mengikut Peraturan Mesyuarat 62, di Dewan Rakyat, di sini.

“Saya mohon untuk tarik balik DR 25/2019 Rang Undang Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis 2019, seperti tertera pada nombor tujuh dalam aturan urusan mesyuarat hari ini,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, ketika menerima dan mengesahkan keputusan itu turut meluluskan penarikan balik RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 yang berada pada kedudukan keenam dalam aturan urusan mesyuarat hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, kemudian bangun mengemukakan peruntukan baharu menggantikan IPCMC, iaitu RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 untuk bacaan kali pertama, di Dewan Rakyat.

RUU alternatif itu bakal menyaksikan badan pemantau bebas ditubuhkan, selain mewujudkan peruntukan, fungsi dan kuasa, termasuk berkaitan aduan salah laku serta penyiasatan terhadap anggota polis.

Ismail berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu akan dibuat pada sidang mesyuarat Dewan Rakyat yang sama.