Kerajaan Rusia menerusi kedutaan negara itu di sini telah menawarkan biasiswa penuh kepada dua pelajar Malaysia bagi mengikuti program pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Tenaga Nuklear.

Penolong Pengarah, Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia, Alena Belozertseva berkata, bawaran biasiswa itu adalah sebagai langkah untuk pertukaran ilmu antara Rusia dan Malaysia.

“Setiap tahun, kami menerima kedatangan kira-kira 600 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian mereka di Rusia terutama dalam bidang perubatan dan kejuruteraan,” katanya media sempena majlis sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Moscow dan Kuala Lumpur, di sini semalam.

Pada masa ini, kerajaan Rusia menawarkan 11 biasiswa dan dua darinya diperuntukkan untuk program ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Tenaga Nuklear.

Sementara itu, Duta Rusia di Malaysia, Valery Yermolov berkata beliau berharap akan wujud penerbangan langsung antara Moscow dan Kuala Lumpur dalam masa akan datang.

“Malaysia adalah sebuah destinasi menarik untuk dikunjungi dan sejumlah kira-kira 50,000 rakyat Rusia melawat Malaysia setiap tahun,’ katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad, yang mewakili kerajaan Malaysia pada majlis itu, berkata tawaran dua biasiswa itu adalah petanda baik bahawa negara bekas Soviet itu ingin berkongsi kepakaran mereka dalam bidang teknologi canggih dengan Malaysia. Hubungan diplomatik ini akan menjadi lebih kukuh dan ia pasti memberi manfaaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Mengenai cadangan mengadakan penerbangan langsung, katanya, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan oleh Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

“Rusia adalah sebuah negara yang besar. Penerbangan tidak semestinya hanya ke Moscow…mungkin ia dari Kuala Lumpur ke bahagian timur Rusia kerana tempat itu menarik untuk dikunjungi,” katanya.

Awal bulan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata Malaysia sudah bersedia untuk tenaga nuklear dan laporan akhir Kajian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) Misi Fasa 1 akan dibentangkan kepada Kabinet.

Terdahulu, lebih 100 ekspatriat Rusia dan Malaysia menghadiri majlis sambutan ulang tahun itu dan mereka turut dihiburkan dengan persembahan pemuzik Rusia yang menggunakan alat muzik tradisional negara itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *