MH Online

Laman Suara Rakyat

Rusia Lancar 34 Satelit Baru

Rusia Lancar 34 Satelit Baru

Roket Soyuz Rusia berlepas ke angkasa dengan membawa 34 satelit baru dari pengendali Britain, Oneweb, bertujuan menyediakan internet jalur lebar di mana-mana saja di dunia.

Menurut agensi angkasa Roscosmos dalam satu kenyataan, roket yang dikendalikan oleh Eropah Arianespace berjaya dilancarkan pada 10.13 malam Sabtu dari Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan.

Ia adalah pelancaran kelima satelit OneWeb tahun ini selepas yang terakhir sebelum ini pada 1 Julai lalu.

OneWeb berusaha untuk menyelesaikan pembinaan bagi melengkapkan rangkaian satelit orbit bumi rendah dengan menyediakan jalur lebar dan perkhidmatan maya lain yang lebih baik kepada negara di seluruh dunia.

Syarikat ini bersaing dengan jutawan, Elon Musk dan Jeff Bezos dalam perlumbaan bagi menyediakan internet pantas untuk kawasan terpencil di dunia melalui satelit.

Syarikat United Kingdom (UK) itu melakukan perancangan supaya perkhidmatan internet komersial globalnya dapat beroperasi pada tahun depan, disokong oleh sekitar 650 satelit.

Arianespace, yang bekerja dengan Russia selama hampir dua dekad, perlu membuat 16 Soyuz dan melancarkannya antara Disember 2020 dan akhir 2022.

Dengan misi terbaru ini, sejumlah 288 satelit kini berada di orbit untuk melengkapkan rangkaian satelit yang dirancang. – AFP