MH Online

Laman Suara Rakyat

Rugi RM400,000 Ditipu Rakan Facebook

Rugi RM400,000 Ditipu Rakan Facebook

KUALA TERENGGANU, Terlalu mudah mempercayai rakan yang baru dikenali di Facebook menyebabkan seorang peniaga wanita kerugian RM376,300, selepas menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit.

Sumber berkata, mangsa berusia 64 tahun mula mengenali suspek yang mendakwa dirinya rakyat tempatan dan dibesarkan di Scotland sejak Awal Mac lalu menerusi Facebook.

Katanya, pada April lalu mangsa menerima mesej daripada suspek berusia 50-an yang memaklumkan kononnya mahu memberi hadiah dan wang tunai sebagai tanda perkenalan mereka.

“Mangsa gembira dengan ‘keikhlasan’ rakannya itu, namun tidak lama kemudian mangsa dimaklumkan oleh rakannya itu hadiah yang dijanjikan ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Suspek memberi alasan kononnya hadiah itu ditahan berikutan terdapat wang tunai dalam jumlah banyak. Berikutan itu suspek meminta mangsa membuat beberapa pembayaran sekiranya mahu menebus hadiah itu dan memberi nombor akaun lima bank berbeza.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa selain teruja mahu mendapatkan hadiah itu hanya menuruti arahan suspek, sehingga sudah melakukan transaksi sebanyak 41 kali sejak Apri lalu membabitkan wang berjumlah RM376,300,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian mula berasa dirinya ditipu apabila suspek terus mendesaknya untuk memasukkan sejumlah wang lagi, sedangkan masalah hadiah yang ditahan JKDM masih belum selesai.

“Susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kelmarin bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.