MH Online

Laman Suara Rakyat

Rugi RM36,800 Ditipu Sindikit Pinjaman Wang Tidak Wujud

Rugi RM36,800 Ditipu Sindikit Pinjaman Wang Tidak Wujud

KUANTAN, Selepas 19 kali melakukan pindahan wang RM36,800, seorang wanita baru menyedari ditipu satu sindiket yang kononnya menawarkan pinjaman wang.

Mangsa berusia 27 tahun dikatakan membuat 19 kali pindahan wang itu ke dalam satu akaun yang diberikan untuk pelbagai bayaran yang diminta suspek sejak November lalu hingga kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada 25 November lalu apabila mangsa melayari satu laman web dan tertarik dengan iklan pinjaman wang.

“Mangsa kemudian mendaftarkan butir-butir peribadi sebelum dihubungi oleh seorang lelaki kononnya dari sebuah syarikat pinjaman wang.

“Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang dengan syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mendapatkan pinjaman berkenaan mangsa diminta membuat pelbagai bayaran yang dianggarkan RM36,800 membabitkan 19 transaksi ke dalam satu akaun.

Namun sehingga kini, mangsa belum menerima wang pinjaman berkenaan dan diminta untuk membuat bayaran lagi.

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Difahamkan, mangsa terpaksa menggunakan duit simpanannya dan meminjam wang daripada keluarga serta rakannya untuk membayar wang memproses permohonan pinjamannya.