Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Rugi RM24,000 Ditipu Urusan Jual Beli Topeng Muka

Rugi RM24,000 Ditipu Urusan Jual Beli Topeng Muka

KUANTAN, Hasrat seorang peniaga wanita menjual topeng muka musnah malah menanggung kerugian sehingga RM24,000 selepas diperdaya oleh seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp.

Kejadian bermula pada 24 Mac lalu apabila mangsa berusia 31 tahun melihat iklan penjualan topeng muka dalam kumpulan WhatsApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa membuat tempahan sebanyak 400 kotak topeng muka dengan harga RM24,000.

“Pada hari yang sama, mangsa membuat bayaran sebelum suspek memaklumkan

barangan akan dihantar menerusi perkhidmatan kurier yang mengambil masa selama tiga hari untuk tiba.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa masih tidak menerima barangan itu sehingga semalam. Suspek juga memberi pelbagai alasan menyebabkan mangsa akhirnya membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading, di sini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, dalam kejadian berasingan seorang wanita berusia 20 tahun kerugian RM12,685.50 ditipu sindiket cabutan bertuah, kononnya anjuran sebuah syarikat telekomunikasi.

“Mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan pada mulanya menerima pesanan WhatsApp dua hari lalu, memaklumkan nombor telefonnya telah memenangi cabutan bertuah wang tunai berjumlah RM12,000.

“Mangsa diarahkan untuk menghubungi nombor telefon yang disertakan bersama pesanan WhatsApp itu bagi urusan tuntutan hadiah, dan seorang suspek lelaki memberitahu mangsa perlu membuat sedikit bayaran sebelum boleh menerima hadiah.

“Suspek juga didakwa memberi nombor akaun yang perlu digunakan mangsa bagi transaksi pemindahan wang bagi tujuan bayaran dan berjanji semua wang tersebut akan dipulangkan bersama duit cabutan bertuah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mempercayai helah itu mendakwa membuat sembilan transaksi pemindahan wang ke dalam akaun diberikan suspek sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply

Top