Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Rosa Malacca Hotel Tawar 60 Bilik Percuma Buat Pengundi Melaka

Rosa Malacca Hotel Tawar 60 Bilik Percuma Buat Pengundi Melaka

KUALA LUMPUR, Rosa Malacca Hotel menawarkan 60 bilik percuma bagi anak jati Melaka yang berada di luar negeri itu, agar pulang ke rumah dan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengarah Eksekutifnya B. Sharavana Kumar berkata hotel itu menawarkan 60 bilik percuma kepada pengundi yang boleh memuatkan 130 orang dengan mendaftar masuk pada 8 Mei dan pendaftaran keluar pada 9 Mei, dan kini 50 peratus telah ditempah.

“Hanya bilik sahaja percuma, dan mereka yang layak mesti mempunyai kad pengenalan tertera alamat di Melaka dan haruslah pengundi berdaftar yang sah. Mereka juga perlu membuktikan mereka bertugas di luar Melaka,” katanya kepada Bernama di sini.

Sharavana berkata hotel itu yang terletak di Jalan Parameswara, membuat tawaran berkenaan sejak Jumaat lepas.

“Kami rasa tentunya sukar bagi pengundi yang bekerja di luar Melaka, terutama mereka yang menetap di Singapura, Johor dan bandar-bandar lain, untuk membuat perjalanan sehari hanya untuk mengundi.

“Tambahan pula hari itu adalah cuti umum, kadar hotel lebih mahal, jadi dari situlah idea ini tercetus dan menukarnya sebagai tanggungjawab sosial korporat hotel yang akan menggalakkan orang ramai untuk pulang mengundi,” katanya lagi.

Mengenai peraturan ketat yang dikenakan, beliau berkata ia adalah bagi memastikan tawaran itu tidak disalahgunakan.

Sharavana berkata mereka yang berminat boleh hubungi Jiha melalui WhatsApp di talian +60122721026 untuk tempahan.

Leave a Reply

Top