Anda di sini!
Utama > Sukan > Ronaldo Julang Juventus

Ronaldo Julang Juventus

Cristiano Ronaldo meledak hatrik menjulang Juventus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Atletico Madrid 3-0, awal pagi tadi.

Kemenangan pada aksi kedua peringkat 16 terbaik itu menyaksikan juara Itali itu bangkit daripada kekalahan pada pertembungan pertama dan mara menerusi keputusan agregat 3-2.

Bintang Portugal itu menjaringkan dua gol menerusi tandukan pada kedua-dua babak permainan dan menyempurnakan penalti untuk membawa Juventus ke sesi undian peringkat lapan terbaik dengan persembahan cemerlang di gelanggang sendiri.

Atletico kendalian Diego Simeone meraih kemenangan 2-0 di Madrid dan penyingkiran mereka menyaksikan harapan kelab Sepanyol itu untuk beraksi di pentas final yang dijadual di gelanggang sendiri, Stadium Wanda Metropolitano pada 1 Jun depan terkubur.

Ini kali kelapan Ronaldo menjaringkan hatrik pada kempen Liga Juara-Juara dengan kecemerlangan itu mengulangi pencapaiannya ketika beraksi bersama bekas kelab, Real Madrid pada 2016 yang ketika itu tewas 2-0 pada aksi pertama sebelum bangkit.

Penjaring terbanyak sejarah Liga Juara-Juara itu kini mengumpul 124 jaringan termasuk empat pada musim ini.

Juventus menandatangani Ronaldo, 34 daripada Real dengan nilai 100 juta euro (RM461 juta) dalam usaha kelab itu melakar kegemilangan di pentas Liga Juara-Juara yang kali terakhir dimenangi pada 1996.

Dan pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or tampil dengan prestasi menakjubkan bersama gandingan serangan Juventus Federico Bernardeschi dan Mario Mandzukic.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri bermula garang apabila mendominasi babak pertama selepas melakukan sembilan cubaan ke gawang berbanding tiga untuk Atletico.

Selepas empat minit perlawanan berlangsung, kapten Juve Giorgio Chiellini memecah kebuntuan tetapi jaringannya dibatalkan Video Bantuan Pengadil susulan kekasaran Ronaldo ke atas penjaga gol pelawat, Jan Oblak.

Begitupun, gawang Atletico akhirnya bocor pada minit ke-27 apabila Ronaldo melonjak untuk menanduk bola menerusi sepakan percuma Bernardeschi.

Sejurus selepas rehat, Ronaldo menyamakan kedudukan agregat dengan gerakan yang dimulakan sendiri olehnya sebelum gol yang dinanti-nantikan tuan rumah hadir empat minit sebelum permainan tamat apabila Bernardeschi dikasari Angel Correa dalam kawasan penalti.

Ronaldo tidak melakukan sebarang kesilapan untuk meledak gol ke-25 terhadap Atletico sekali gus membawa Juve ke kelompok lapan terbaik. – AFP

Leave a Reply

Top