Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Rokok Seludup RM1.6 Juta Dirampas

Rokok Seludup RM1.6 Juta Dirampas

MELAKA, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Tampoi membanteras cubaan penyeludupan 140 kotak rokok dianggarkan bernilai RM1.6 juta dalam dua serbuan di Tanjung Minyak, awal pagi semalam.

PPM W2 yang dibantu pegawai dan anggota dari Muar menyerbu dua lori dipercayai dari Pantai Timur yang membawa rokok seludup dipercayai untuk diedarkan di selatan Semenanjung.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata hasil serbuan pertama di Tanjung Minyak antara jam 3 hingga 4.30 pagi tadi, polis menahan pemandu berusia 50 tahun.

Menurutnya, serbuan kedua berjaya menemui sebuah lagi lori yang di tinggalkan di tepi jalan tidak jauh daripada lokasi serbuan pertama.

Katanya, kedua-dua kenderaan yang dirampas di bawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, setiap kenderaan terbabit membawa 70 kotak besar rokok seludup.

“Polis mengekori kenderaan terbabit sejak ia keluar dari lebuh raya di plaza tol Simpang Empat memasuki bandaraya Melaka hasil maklumat risikan dan orang awam,”

katanya pada sidang media di Terminal Jeti ICQS Melaka Bandar Hilir semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 153 (1) Akta Kastam 1967.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai kegiatan menyeludup rokok boleh menghubungi talian 03-22663208.

Leave a Reply

Top