Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > RM27.86 Juta Untuk Program Pembangunan RISDA Negeri Sembilan

RM27.86 Juta Untuk Program Pembangunan RISDA Negeri Sembilan

REMBAU, Sejumlah RM27.86 juta diperuntukan bagi membiayai program pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil dan Perusahaan Getah (RISDA) di Negeri Sembilan, tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA Datuk Nasarudin Malek berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM800,000 diperuntuk bagi program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), RM350,000 untuk program pembungkusan dan pelabelan dan RM162,500 bagi program tuisyen rakyat.

“Selebihnya adalah untuk program pembangunan RISDA di negeri ini iaitu sebanyak RM26.54 juta,” katanya ketika berucap di Majlis Kasihi Pekebun dan Pemimpin Bersama Rakyat peringkat negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Hasim Rusdi dan Pengarah RISDA Negeri Sembilan Mohd Jazlanuddin Azmi.

Nasarudin berkata buat masa ini terdapat seramai 25,000 pekebun kecil di negeri ini telah dibantu RISDA untuk meningkatkan pendapatan mereka dari semasa ke semasa menerusi pelbagai program yang dilaksanakan agensi itu.

“Kami menyasar peningkatan pendapatan dikalangan pekebun kecil pada sekitar RM4,000 sebulan menjelang 2020 berbanding RM2,500 pada masa kini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata bantuan yang diterima peserta dibawah program RISDA hari ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memainkan peranan penting dalam soal pembangunan pekebun kecil serta peka dengan kebajikan pesertanya.

Pada majlis itu, Mohamad menyampaikan bantuan peralatan seperti mesin jahit dan mesin pemprosesan makanan kepada 80 peserta program AET, program pembungkusan serta pelabelan bagi tujuan penjenamaan kepada 30 peserta dan sumbangan tuisyen rakyat kepada seramai 390 pelajar daripada 13 buah sekolah di sekitar negeri ini.

Leave a Reply

Top