Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > RM20 Juta Untuk Kempen ‘Beli Barangan Malaysia’

RM20 Juta Untuk Kempen ‘Beli Barangan Malaysia’

KUALA LUMPUR, Kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk menggerakkan kempen ‘Beli Barangan Malaysia’, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, kempen itu akan dilaksanakan dari peringkat akar umbi bagi menyediakan platform kepada pengilang dan penyedia perkhidmatan untuk mendapatkan akses ke pasar raya, gedung beli belah dan ekspo perdagangan.

“Kesannya ia akan membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk mendapat akses menawarkan produk masing-masing,” katanya berucap merasmikan Malam Anugerah Projek Inspirasiku anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.

Pada majlis itu juara Projek Inspirasiku menjadi milik Azri Alwan Nordin, pemilik Walter Barbershop sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil penyertaan. Naib juara, Ahmad Safuan Nizam Kamarudin dari Art Star Enterprise dan tempat ketiga, Christopher Ong dari ITpro Services Sdn Bhd masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM3,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.

Menyentuh mengenai Projek Inspirasiku, Saifuddin Nasution berkata, pelaksanaan program seumpama itu adalah langkah terbaik ke arah mendidik dan menyemai budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

Saifuddin Nasution berkata, kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merangkumi 98.5 peratus daripada sektor perniagaan di negara ini terus berdaya saing.

Katanya, antara langkah berkenaan termasuk dana pembiayaan, pengurangan cukai, galakan eksport, penambahbaikan industri halal dan skim pembiayaan patuh Syariah.

Leave a Reply

Top