MH Online

Laman Suara Rakyat

RM2.8 Bilion Untuk Sektor Pendidikan Di Kelantan

KOTA BHARU, Peruntukan besar RM2.8 bilion untuk sektor pendidikan di Kelantan tahun lepas membuktikan kerajaan Persekutuan amat mengambil berat terhadap pendidikan rakyat, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan sangat mengambil berat soal pendidikan kerana yakin bidang itu adalah tonggak utama dalam mentransformasikan negeri itu dan negara pada masa hadapan.

“Kita memang mendapat kritikan daripada sektor lain yang mempersoalkan peruntukan besar ini iaitu 40 peratus daripada keseluruhan peruntukan RM7 bilion, yang diberikan kepada Kelantan tahun lepas.”

“Namun bagi kerajaan, bidang pendidikan adalah perkara utama yang memacu masa hadapan yang lebih cerah,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Kelantan ke-43 di sinihari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Muhammad Zahari Othman dan Pengarah Urusan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO) Ahmed Azi Othman.

Pesta buku anjuran Persatuan Perpustakaan Sekolah-Sekolah Negeri Kelantan dengan kerjasama SMO itu berlangsung di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) selama lapan hari bermula hari ini hingga 3 April.

Sejumlah 20,000 judul buku disediakan sepanjang pesta itu, meliputi pelbagai jenis buku dengan potongan harga sebanyak 10 peratus dan 15 peratus bagi pemegang kad SMO.

Sementara itu, Ahmed Azi berkata industri buku masih relevan di negara ini walaupun negara berdepan kelembapan ekonomi dan persaingan dengan teknologi digital.

Katanya kunjungan ke pesta buku itu meningkat dari setahun ke setahun dan kali ini lebih 50,000 orang dijangka mengunjungi berbanding 40,000 pengunjung tahun lepas.

Beliau berkata industri buku tidak banyak terjejas terutama buku sekolah dan buku akademik yang sentiasa mendapat permintaan tinggi setiap tahun.

SMO mempunyai 24 cawangan di seluruh negara iaitu 16 cawangan di Kelantan, 5 di Terengganu dan masing-masing sebuah di Pahang, Selangor dan Putrajaya. Ia bakal menambah tiga lagi cawangan di Pahang tahun hadapan.