Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > RM12.4 Juta Untuk Tangani Masalah Ulat Bungkus

RM12.4 Juta Untuk Tangani Masalah Ulat Bungkus

TELUK INTAN, Kerajaan memperuntukkan RM12.4 juta bagi pelaksanaan kawalan ulat bungkus secara bersepadu di kawasan tanaman sawit bagi menyelesaikan masalah ancaman serangan serangga perosak itu bagi jangka pendek dan panjang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata kerajaan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) komited membantu kira-kira 13,000 pekebun kecil di seluruh negara membabitkan 33,000 hektar ladang kelapa sawit menerusi kajian yang dilakukan oleh MPOB sehingga Dis tahun lepas.

Beliau berkata kementerian memandang serius ancaman serangga perosak itu kerana ia menjejaskan pengeluaran dan produktiviti pokok sawit sehingga 50 peratus, dengan kerugian dianggarkan melebihi RM120 juta setahun.

“Johor dan Perak merupakan negeri yang paling teruk terjejas dengan serangan ulat bungkus membabitkan keluasan 19,600 hektar di Johor dan 6,200 hektar di Perak.

“Sehingga Januari tahun ini, kita telah melakukan penyemburan racun ke atas 1,400 hektar tanaman sawit di kedua-dua negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Pekebun Kecil Sawit di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di Kampung Baru Batu 12 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mah berkata pihak MPOB telah mula melakukan semburan kawalan bersepadu di ladang kelapa sawit secara percuma sejak awal tahun ini bagi merawat tanaman sawit yang telah dijangkiti serangga perosak tersebut.

“MPOB telah melakukan pemetaan kawasan tanaman sawit yang terjejas sebelum melakukan proses penyemburan racun.

Selain menggunakan traktor untuk melakukan kerja-kerja meracun, kita turut menggunakan teknologi baharu seperti penggunaan kapal terbang atau dron di kawasan tanaman sawit yang mengalami serangan ulat bungkus,” katanya.

Menurut Mah, kerajaan memberi jaminan akan membantu pekebun kecil untuk menangani masalah serangan ulat bungkus dan pihaknya memerlukan maklum balas daripada pekebun kecil mengenai keberkesanan usaha semburan racun bagi menghapuskan ulat bungkus yang menyerang pokok sawit di kawasan tanaman mereka.

Beliau berkata masalah ulat bungkus melibatkan sejenis ulat parasit yang hinggap serta menyerang dengan merosakkan keseluruhan pelepah sawit dari pokok ke pokok dengan merosakkan daun hijau sehingga kering.

Tiga jenis ulat bungkus yang biasa menyerang pokok sawit ialah ‘metisa plana’, ‘pteroma pendula’ dan ‘mahasena corbetti’ yang mana larva dari ulat bungkus akan menyebabkan kerosakan pada daun seterusnya mengakibatkan kerugian hasil sawit selama dua tahun.

Penggunaan racun perosak kimia yang tidak terkawal dan berterusan merupakan satu daripada faktor merebaknya populasi ulat bungkus kerana kurangnya populasi serangga bermanfaat.

Leave a Reply

Top