MH Online

Laman Suara Rakyat

Ringgit Dibuka Rendah

Ringgit Dibuka Rendah

KUALA LUMPUR, Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal pagi ini apabila penurunan harga minyak global menjejaskan sentimen belian terhadap unit tempatan itu.

Pada 9.08 pagi, unit tempatan berada pada 4.0745/0775 daripada 4.0740/0770 yang dicatatkan pada paras penutup semalam.

Seorang peniaga berkata para pedagang bimbang penurunan harga minyak global akan mengurangkan hasil negara daripada sektor minyak dan gas, selain keadaan tidak menentu dalam perdagangan luar yang disebabkan oleh ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Minyak mentah AS turun 12 cents kepada AS$66.82 setong, manakala penanda aras minyak mentah BRENT turun dua cents kepada AS$72.26.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah kecuali berbanding pound British yang meningkat kepada 5.2443/2498 daripada 5.2567/5614 pada Rabu.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 2.9876/9913 daripada 2.9870/9897, berkurangan berbanding yen kepada  3.6764/6801 daripada 3.6723/3756 dan susut berbanding euro kepada 4.7293/7340 daripada 4.7242/7293.