MH Online

Laman Suara Rakyat

Rina Tak Perlu Pertikai Rekod Orang Lain

Rina Tak Perlu Pertikai Rekod Orang Lain

KUALA LUMPUR, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun menonjolkan kebolehan sendiri sebelum mempertikai rekod lampau dan kebolehan orang lain.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, Menteri sepatutnya fokus kepada pembangunan masyarakat luar bandar yang majoritinya berpendapatan rendah dan perlukan pembelaan dari pihak kerajaan.

Katanya, sebaliknya yang berlaku ialah satu persatu bantuan kepada golongan berkenaan ditarik oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

“Harga getah menjunam, harga sawit semakin jatuh dan bantuan nelayan dihentikan. Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) akan dimansuhkan dan banyak lagi,” katanya bagi menjawab kenyataan Rina yang menyatakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan diterajui oleh individu seperti Tan Sri Annuar Musa yang pernah menjadi pengerusinya.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan tidak mahu memilih orang seperti Annuar untuk menerajui MARA lagi.

“Kita akan pilih orang yang berkualiti, pilih orang profesional yang boleh pastikan hasrat kita agar MARA lebih dimartabatkan,” katanya.

Noor Hariri turut menggesa Rina turun ke bawah dan selami apa yang dirasai rakyat pada masa kini, terutama setelah lebih 100 hari Kerajaan PH memerintah.

Katanya, Menteri jangan menggunakan ‘kerusi empuk’ yang diduduki untuk membuat fitnah semata-mata sebagai langkah populis meraih perhatian rakyat di atas cercaan kepada orang lain.

“Ini dilihat tidak lebih sekadar ingin menutup kelemahan sendiri dengan terus menerus menuding jari ke arah pihak lain. Nampak seolah minda pembangkang masih dominan dalam jatidiri pemimpin Kerajaan PH hari ini,” katanya.

Beliau juga berkata, Rina juga tidak layak menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar kerana menjadi wakil rakyat dari kawasan tengah bandaraya, bukannya di kampung selain cetek pengalaman dengan isu-isu luar bandar.

“Selain itu, tiada apa-apa idea baru dari Rina sejak menerajui kementerian itu melainkan fitnah dan cercaan ke atas pemimpin Barisan Nasional (BN),” katanya.