Pelakon Riezman Khuzaimi, 46, dimasukkan ke Hospital Shah Alam, pagi semalam selepas disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Isterinya, Datuk Normaziah Sheikh Mohamad, berkata suaminya masih belum stabil dan diawasi rapi doktor.

“Sudah seminggu suami saya tidak sihat. Dia macam letih sedikit kebelakangan ini disusuli demam. Kesihatannya bagai ‘pasang surut’ sehinggalah dimasukkan ke wad.

“Sekarang suami sedikit okay berbanding sebelum ini apabila dia sangat pucat dan tidak bermaya. Demamnya masih belum kebah. Tekanan darah juga turun naik. Doktor berusaha sehabis baik untuk menstabilkan suami dan merawat paru-parunya.

“Saya harap semua pihak dapat mendoakan suami saya kembali okay,” katanya.

Setia menemani suami di wad, Normaziah mengaku perasaannya bercampur baur.

“Takut ada, sedihpun ada. Baru Allah nak beri kebahagiaan, dugaan begini datang tanpa disangka. Tapi mungkin ada rahmatnya. Suami saya kena jaga kesihatan selepas ini. Perniagaannya pula baru nak berkembang,” katanya.

Semalam, ramai rakan artis berkongsi berita Riezman yang dimasukkan ke hospital di laman sosial termasuk Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Riezman menamatkan zaman dudanya selepas memilih Normaziah sebagai isteri yang sah pada 15 Disember tahun lalu. Mereka diraikan pada majlis resepsi di sebuah hotel di Shah Alam pada 24 Disember lalu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *