Detik 12.05 malam tadi menjadi sejarah bagi seorang remaja perempuan bukan Islam apabila mengucap kalimah syahadah semasa sesi ceramah pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik di sini.

Bersaksikan hampir 40,000 orang yang hadir pada majlis syarahan di Padang Astaka di sini, Woo Nina Grace, 19, mengucapkan kalimah syahadah dengan dibimbing Dr Zakir selepas bersoal-jawab mengenai agama Islam.

Remaja perempuan itu yang menuntut di sebuah kolej swasta di sini, yang ibunya berasal dari Filipina dan bapanya dari Johor, mengakui telah mula mengkaji tentang Islam ketika berusia 13 tahun.

Beliau sebelum itu memberitahu bahawa telah menghafal surah Al fatihah, ayat kursi dan tiga surah Qul sejak beberapa tahun lalu dan yakin akan Tuhan yang Esa dan kewujudan Nabi Muhammad.

Ucapan kalimah syahadah itu bukan sahaja membuatkan Nina mengalirkan air mata malah juga hadirin yang hadir.

Sementara itu selepas selesai menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pilihan Orang Islam, Dakwah Atau Kemusnahan’ dan sesi soal jawab pada kira-kira 12.45 malam, Dr Zakir dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berjumpa dengan Nina yang berehat di sebuah bilik di belakang pentas.

Usaha pemberita untuk menemu bual Nina tidak berjaya selepas dihalang oleh pihak urus setia program.

Beberapa hadirin yang ditemui menyatakan bahawa mereka terkejut dengan kesediaan Nina memeluk Islam dan bersyukur kerana dapat melihat usaha dakwah Dr Zakir yang mampu menarik orang bukan Islam menjadi ‘saudara baru’.

Sementara itu, mengenai perjalanan ceramah Dr Zakir selama enam hari di negeri ini, Menteri Besar berkata beliau bersyukur ia mendapat sambutan luar jangkaan dan telah menawarkan pulau di Tasik Kenyir untuk dijadikan pangkalan Islamic Research Foundation bagi Asia Tenggara.

“Dr Zakir Naik menunjukkan minat yang tinggi dan perbincangan terperinci akan berlangsung nanti” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang mengundang Dr Zakir ke negeri ini tahun depan dengan turut disertai penceramah terkenal lain di dunia.

Ahmad Razif ketika ditanya sama ada beliau mempunyai perancangan untuk mengambil Nina sebagai anak angkat, menjawab: “InsyaAllah. Alhamdulillah.”

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *