Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > RELA Adalah ‘Hero’ Yang Membantu Rakyat Malaysia

RELA Adalah ‘Hero’ Yang Membantu Rakyat Malaysia

CHUKAI, Sumbangan dan peranan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bukan sekadar sebagai menjaga trafik di majlis-majlis kemasyarakatan, tetapi mereka juga antara ‘hero’ yang membantu penduduk terjejas banjir ketika musibah itu melanda negara ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata anggota RELA mempunyai disiplin yang sangat tinggi dalam setiap tugasan yang diberikan termasuk membantu pasukan keselamatan lain menyelamatkan mangsa banjir.

“Ternyata  peranan yang dimainkan oleh RELA bukan sahaja dapat membantu menguruskan acara waktu susah dan senang, ketika berlaku bencana dan sebagainya tetapi  mereka turut mempunyai disiplin tertentu dalam masyarakat.

“Kalau kita tidak tahu menghargai badan ini mereka akan hilang  begitu sahaja dan kita tidak mahu  semangat sukarela  yang mereka sumbangkan hilang begitu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Hari Keluarga RELA dan Jamuan Rakyat di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata harus sentiasa menghargai peranan dan khidmat yang diberikan pasukan RELA kerana sumbangan mereka kepada masyarakat adalah ikhlas dan bukannya bersandarkan kepada elaun semata-mata.

Shabery mengulas kenyataan yang dibuat Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mempersoalkan kredibiliti dan memperlekeh peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang di siarkan media baru-baru ini.

Menerusi video yang tular di laman sosial pada 15 Jan lalu, Shafie ketika berucap dalam program Bicara Presiden Warisan di Tuaran, Sabah, pada 14 Jan, dilihat mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELA yang tidak mahir dalam mengendalikan senjata api untuk penugasan di ESSZone.

Beliau dilaporkan berkata bahawa anggota RELA hanya sesuai untuk bertugas mengawal trafik di majlis-majlis kenduri sahaja.

Leave a Reply

Top