Projek hartanah kediaman dan komersial Lembaga Tabung Haji (TH) di atas tanah miliknya di pusat kewangan antarabangsa, Tun Razak Exchange (TRX), akan direka bentuk dengan ciri-ciri ikonik.

TH Properties Sdn Bhd (THP), anak syarikat milik penuh TH, yang akan melaksanakan​​​​​ projek itu mengesahkan ia kini di peringkat akhir pemilihan reka bentuk.

Pengerusi THP, Datuk Azizan Abd Rahman berkata, pihaknya telah menyenarai pendek tiga firma arkitek yang bekerjasama dengan syarikat sekutu asing untuk menghasilkan reka bentuk berkenaan.

“Kita mahu syarikat (arkitek) menghasilkan reka bentuk yang ikonik dan menakjubkan,” katanya kepada media di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihak TH kemudiannya akan memuktamadkan reka bentuk akhir projek itu. Azizan berkata, pembangunan hartanah yang terdiri daripada pangsapuri dan pangsapuri perkhidmatan serta komersial mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (NPK) RM900 juta.

TH membeli tanah seluas 0.631 hektar di TRX itu pada RM188.5 juta dua tahun lalu.

Beliau yakin produk yang akan diketengahkan THP di TRX itu bakal menerima sambutan baik daripada pelanggan memandangkan ia menepati citarasa pasaran, selain faktor harganya yang kompetitif berbanding pesaing lain.

“Kriteria utama adalah produk itu sendiri dan cara kami memperkenalkan produk kami​ kepada semua,” katanya.

Beliau berkata, trend terkini dalam pasaran hartanah menunjukkan mereka yang bekerja di pusat-pusat kewangan cenderung untuk tinggal berdekatan dengan tempat kerja masing-masing.

Ia sekali gus memberikan kelebihan kepada projek hartanah THP di TRX itu, katanya.

Mengenai andaian sesetengah pihak yang mengatakan THP tidak mampu bersaing dalam segmen hartanah di TRX, Azizan berkata, syarikat telah menempa kejayaan di peringkat antarabangsa menerusi projek-projek hartanah di Australia.

“Jika kami boleh berjaya di Australia dalam melaksanakan produk kediaman dan bersaing dengan firma antarabangsa, menghasilkan reka bentuk yang menarik, tidak ada sebab untuk kami tidak dapat melakukannya di tanah air sendiri (Malaysia),” katanya.

Beliau berkata, THP adalah syarikat yang berkemampuan dipacu oleh warga kerjanya yang berpengalaman dan berpengetahuan luas.

Selepas Australia, THP akan mengembangkan perniagaannya dengan menceburi projek hartanah di London.

Pada Jumaat lalu, THP menerima tiga Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2017-2018 bagi tiga projek hartanahnya iaitu Bay Pavilions di Sydney, Australia; Hotel TH dan Pusat Konvensyen di Kuching, Sarawak dan Kompleks Islam Putrajaya di Presint 3, Putrajaya.

Ia adalah pengiktirafan peringkat antarabangsa terhadap THP.

Azizan berkata, THP kini memiliki tiga lagi projek hartanah di Australia, sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kita bersaing dengan firma-firma pemaju hartanah antarabangsa di Australia dan sudah semestinya kita boleh berjaya di TRX,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *