KUALA LUMPUR, PAS sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika ditubuhkan untuk menyiasat tragedi Memali yang mengorbankan 14 penduduk kampung dan empat anggota keselamatan.

Malah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan penubuhan RCI wajar dilaksanakan supaya siasatan telus dan adil dapat dilaksanakan tanpa prejudis.

“Peristiwa Memali adalah mangsa daripada salah laku terhadap Islam oleh pemimpin Islam negara pada masa itu.

“Polis dipaksa bertindak terhadap golongan agama yang terpaksa mempertahankan kesucian Islam yang dihina.

“PAS bersedia memberi kerjasama bila-bila masa bagi menghapuskan fitnah yang boleh merosakkan hubungan kalangan umat Islam dan berlaku adil terhadap semua mangsa peristiwa itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan selain bersependapat dengan kepemimpinan PAS mengenai cadangan penubuhan RCI bagi menyiasat peristiwa yang berlaku pada 19 November 1985 itu.

Isu Memali timbul kembali dalam pelbagai forum, termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tidak menjelaskan perkara sebenar pada perhimpunan di Shah Alam pada 13 Ogos lalu.

Tragedi Memali yang berlaku lebih 30 tahun lalu menyaksikan pertempuran antara penduduk kampung diketuai pemimpin PAS, Ibrahim Libya dengan pasukan keselamatan.

Ibrahim dikaitkan dengan ajaran sesat dan keganasan tetapi dakwaan itu dinafikan PAS.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *