Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Razif Yakin UniSZA Mampu Lahirkan Pelajar Berkredibiliti

Razif Yakin UniSZA Mampu Lahirkan Pelajar Berkredibiliti

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil inisiatif mengadakan Program Cakna Komuniti UniSZA dalam memberi sumbangan dan khidmat kepada masyarakat di Kampung Baru Seberang Takir yang diadakan selama dua hari bermula semalam dan hari ini.

Objektif program ialah memberi khidmat kepada penduduk setempat selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dengan orang ramai.

Cakna Komuniti UniSZA@Seberang Takir memfokuskan tiga program utama iaitu Program Kemasyarakatan, Program Bantuan Sumbangan kepada golongan yang memerlukan di kawasan Kampung Baru dan pertunjukan pameran untuk orang ramai.

Di samping itu pelbagai agensi dan jabatan kerajaan yang turut sama menyertai program seperti Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Peguam Terengganu, Pos Malaysia, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), pusat komunikasi korporat, CENTRENA serta Jabatan Kemajuan Masyarakat.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan turut dihadiri Naib Canselornya UniSZA Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abd Latif.

Ahmad Razif dalam ucapannya berkata program seumpama ini merupakan platform untuk mahasiswa menabur bakti serta khidmat sosial kepada masyarakat dan berharap ia diteruskan pada masa-masa yang akan datang.

‘Penganjuran program Cakna Komuniti ini adalah bertepatan dalam memberi peluang seluas-luasnya kepada anak muda untuk melibatkan diri dalam sosio-budaya mengikut pilihan mereka sendiri berlandaskan minat dan keupayaan’.

‘Pengisian program Cakna Komuniti UniSZA ini akan memberi tumpuan kepada aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan seperti aktiviti gotong-royong, pemberian sumbangan kepada golongan asnaf,menziarahi pesakit terlantar dan banyak lagi’.

‘Melalui penganjuran aktiviti-aktiviti kesukarelawan, kita juga sebenarnya dapat melihat bagaimana komitmen yang diberikan oleh pihak universiti bagi memperkukuh nilai-nilai murni dan integrasi kaum melalui latihan serta pembelajaran dalam kumpulan’ katanya.

Beliau optimis UniSZA mampu melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang bukan sahaja berkredibiliti dari sudut akalnya malah kritis dari segi kemahiran insaniahnya.

Leave a Reply

Top