Sekurang-kurangnya 112 terbunuh manakala ratusan lagi cedera, kelmarin dalam kejadian letupan bom menyasarkan konvoi membabitkan puluhan bas yang membawa penduduk dipindahkan dari bandar Fuaa dan Kafraya di bawah perjanjian dicapai antara rejim Presiden Bashar al-Assad dan kumpulan pemberontak.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memaklumkan kejadian pengeboman itu berlaku di kawasan Rashidin di pinggir Aleppo ketika konvoi terbabit menunggu kebenaran untuk memasuki bandar utara itu, Jumaat lalu.

“Pengebom berani mati itu dipercayai memandu van yang membawa bekalan bantuan sebelum meletupkan kenderaan tersebut berhampiran konvoi bas terbabit. Beberapa anggota kumpulan pemberontak yang mengiringi bas tersebut turut maut.

“Mangsa cedera termasuk beberapa kanak-kanak dihantar ke hospital di Aleppo untuk menerima rawatan,” kata jurucakap SOHR.

Sementara itu, media tempatan melaporkan cebisan anggota tubuh dan beberapa mayat mangsa ditemui bergelimpangan berhampiran bas yang musnah dalam letupan tersebut.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pemberontak, Ahrar al-Sham turut mengutuk pengeboman tersebut.

“Kami menolak sebarang tuduhan yang dilemparkan untuk jenayah kejam ini. Peranan kami adalah untuk melindungi orang awam dan bukan membunuh mereka,” kata jurucakapnya.

Insiden itu turut menyebabkan ribuan penduduk terkandas, namun proses pemindahan tersebut disambung semula tidak lama selepas itu.

Difahamkan, lebih 5,000 penduduk yang hidup di bawah kepungan selama lebih dua tahun di dua bandar tersebut bersama 2,200 dari Madaya dan Zabadani dipindahkan di bawah perjanjian pertukaran tersebut. – AFP

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *