Share on Facebook

Pekan Rantau Panjang lumpuh selepas dinaiki air sehingga paras satu meter dan menjejaskan keseluruhan aktiviti perniagaan, di sini.

Tinjauan mendapati keseluruhan kawasan di pekan itu mula dinaiki air sejak 12 tengah hari, semalam sekali gus menyebabkan semua premis perniagaan di tutup.

Semua agensi keselamatan seperti pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) memberi kerjasama baik dalam membantu memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Adni Ibrahim, berkata segala aktiviti di pekan itu terhenti malah semua penduduk dinasihatkan berpindah ke tempat selamat.

“Sehari sebelum air mula membanjiri pekan ini, kebanyakan penduduk sudah mula mengambil inisiatif sendiri mengemas rumah serta menyelamatkan dokumen penting.

“Selain itu, kenderaan mula diletakkan di kawasan tinggi bagi mengelak daripada rosak atau hanyut dibawa arus deras.

“Kebanyakan penduduk sudah mula meninggalkan kediaman mereka apabila air mula naik kerana khuatir akan keselamatan terutama kanak-kanak,” katanya.

Mohd Adni berkata pihak bomba sendiri dari awal menasihati penduduk untuk segera berpindah atau menghubungi mana-mana agensi keselamatan jika banjir mula melanda.

“Pemantauan dan rondaan dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan keadaan terkawal. Begitu juga dengan proses kerahan kepada segelintir penduduk yang ingkar dan tidak mahu berpindah.

“Saya nasihatkan kepada mangsa yang tidak berpindah agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *