BEAUFORT, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pimpinan UMNO Bahagian Beaufort merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias di bawah Parlimen itu yang kini milik pembangkang.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri mahu pimpinan parti itu dan Barisan Nasional (BN) bekerja dalam satu pasukan sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort dan DUN Kuala Penyu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagi mencapai hasrat itu, beliau meminta pengundi khususnya penyokong BN menyokong sesiapa saja calon diletakkan pimpinan parti bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan.

“Walaupun ada ‘kawan’ (pemimpin pembangkang) datang ceramah di sini dan Sipitang, biarlah dia bernostalgia kerana itu hanya angan-angan. “Mustahil langit (di Beaufort) dapat dicat dengan warna lain kerana langit tetap biru (warna BN) apabila awan berlalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Begandang Beaufort di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun.

Ketika ini, kerusi Parlimen Beaufort dan DUN Kuala Penyu masing-masing milik BN, manakala DUN Klias disandang oleh Datuk Lajim Ukin (Parti Harapan Sabah).

Dalam ucapan penuh bersemangat itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO meminta ribuan hadirin berdiri sebagai janji untuk menyokong siapa saja calon BN pada PRU-14 sambil melaungkan ‘Tatap BN’.

Beliau turut meminta Isnin dan Azizah supaya ‘tidak bergaduh’, sebaliknya bekerja dalam satu pasukan yang kuat demi memastikan BN menyapu bersih kerusi Parlimen dan dua DUN dinaunginya.

“Datuk Isnin dan Azizah jangan gaduh.. Azizah iktiraf Isnin sebagai ketua bahagian, Isnin iktiraf Azizah selaku Ahli Parlimen, yang sudah tu sudahlah… (jangan dilayan) tukang kipas, tukang cucuk dan tukang bakar.

“Ini Beaufort (semua kerusi) mesti dimenangi atas perpaduan pemimpin. Kita ada jawatan kerana rakyat yang bagi, kita berada di atas pentas kerana perwakilan (UMNO) sokong,” katanya sambil meminta kedua-dua pemimpin bersalam di atas pentas disusuli sorakan bergemuruh hadirin.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *