KOTA BHARU, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjangka lebih ramai pemimpin dan penyokong UMNO di Kelantan akan menyertai parti itu selepas mendapat mandat untuk memimpin negara menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Perhubungan PBBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata penyertaan pemimpin dan penyokong UMNO itu adalah satu fenomena baharu selepas PH menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, selepas pilihan raya lalu, ramai pemimpin dan penyokong UMNO menghubunginya dan memaklumkan berminat untuk menyertai parti itu.

“Perkembangan ini saya lihat sangat positif selepas kemenangan PH di peringkat pusat. Kita mendapat maklumat daripada semua kawasan di Kelantan bahawa ramai yang berminat dengan PPBM dan ia macam satu fenomena baharu.

“Kita boleh agak sebabnya dan yang pasti ada kaitan dengan kemenangan kita di peringkat pusat. Saya jangka parti rakan (PKR dan Parti Amanah Negara) juga akan menerima ramai ahli baharu selepas ini,” katanya dipetik sebagai berkata hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PBBM Pusat berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung Ketua Penerangan Wanita UMNO Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusope, bersama 50 penyokongnya mengumumkan menyertai PPBM, semalam.

Kamaruddin berkata, penyertaan pemimpin dan penyokong UMNO itu adalah satu perkembangan yang baik kepada parti.

“Namun, kita akan membuat tapisan kerana sama ada benar mereka (pemimpin) ini ikhlas nak masuk PBBM atau hanya sekadar mempunyai kepentingan lain.

“Kita terpaksa membuat penilaian kepada keadaan dan suasana (selepas menang). Kita nak mereka yang masuk ini atas dasar keinsafan dan membuka mata melihat PBBM,” katanya.

Beliau berkata, permohonan yang dibuat perlu mengikut prosedur dan akan mengambil masa selama beberapa hari untuk diluluskan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *