MH Online

Laman Suara Rakyat

Rakyat Perlu Terus Bersama PN

Rakyat Perlu Terus Bersama PN

SANDAKAN, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat untuk bersatu dan bersama kerajaan pimpinannya dalam perjuangan ke arah memelihara masa depan negara yang lebih baik untuk semua.

Menurutnya, beliau bukan seorang Perdana Menteri yang luar biasa tetapi mendepani cabaran luar biasa dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19) dan impak wabak itu terhadap ekonomi negara.

Justeru, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membuat keputusan dan tindakan luar biasa dalam membela nasib rakyat yang terjejas akibat impak wabak tersebut, katanya.

“Saya juga sedar kalau tak buat keputusan luar biasa, nasib rakyat akan terjejas,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Taman Mawar di sini hari ini.

Untuk rekod, Malaysia kini dikenali sebagai antara negara yang paling berjaya di dunia dalam mengurus ancaman pandemik tersebut serta usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai program menjana ekonomi negara berjumlah hampir RM300 bilion dalam membantu rakyat yang terkesan dengan impak Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) menyerahkan surat mengembalikan peruntukan untuk membaik pulih 24 buah jambatan di Kampung Sim Sim bernilai RM4.2 juta kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan, Shaiful Bahari Muin (kanan) ketika menghadiri majlis ramah mesra perdana bersama masyarakat Kampung Sim Sim semalam.

Perdana Menteri juga meyakinkan rakyat di Sabah bahawa kerajaan ON bukan kerajaan ‘penjajah’, sebaliknya adalah kerajaan yang membantu rakyat keseluruhan.

Katanya, biarpun terdapat parti Semenanjung dalam PN dan rakan sekutu seperti Barisan Nasional (BN), tetapi parti berkenaan mempunyai tujuan sama dengan rakan sekutu tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu untuk memelihara masa depan rakyat dan generasi akan datang.

“Kerajaan PN prihatin dengan masalah rakyat jelata. Kerajaan ini sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat.

“Kita mahu memperkukuhkan aspek keselamatan Sabah supaya tiada ancaman kepada kedaulatan Sabah… pembangunan juga kita (kerajaan PN) akan perkukuhkan,” katanya.

Sementara itu di Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kampung Sim-Sim di sini, Muhyiddin menafikan kerajaan telah menarik balik peruntukan untuk membaik pulih 24 jambatan di perkampungan atas air itu selepas mengambil alih kerajaan pusat daripada Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata, dakwaan pembangkang itu adalah tidak benar, malah beliau menunjukkan surat kelulusan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri membuktikan peruntukan akan disalurkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan untuk tindakan sewajarnya.

“Saya tak suruh peruntukan itu ditarik balik (sejak PN ambil alih kerajaan). Semakan telah dibuat di ICU dan ada peruntukan RM4.2 juta diluluskan,” katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyerahkan surat tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah ICU Datuk Nor Azri Zulfakar kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan Shaiful Bahari Muin.