Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Rakyat Malaysia Selesa Memandu Sendirian – Kajian

Rakyat Malaysia Selesa Memandu Sendirian – Kajian

KUALA LUMPUR, Majoriti rakyat negara ini di Lembah Klang memandu bersendirian ke tempat kerja, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai kadar pemandu tunggal tertinggi di dunia.

Kajian Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) terhadap hampir 5,000 kenderaan mendapati 87.3 peratus pemandu yang bekerja di daerah pusat perniagaan (CBD) di ibu negara memandu sendirian ke tempat kerja.

Sebanyak 11.6 peratus pemandu didapati memandu dengan seorang penumpang, manakala hanya 0.9 peratus mempunyai dua penumpang.

Kajian dilakukan antara 23 hingga 25 Oktober lalu, yang mana pengkaji ditugaskan di pelbagai kawasan di ibu negara merangkumi Ampang, Seri Kembangan, Sungai Buloh dan Petaling Jaya, dengan mengambil sampel antara jam 8 pagi hingga 9.10 pagi (waktu puncak) tanpa mengambil kira pemandu e-hailing dan penumpang.

“Sampel responden adalah pemandu yang ke Kuala Lumpur melalui lebuh raya bertol bagi memastikan mereka komited secara kewangan untuk memandu ke tempat kerja.

“Ini menandakan mereka lebih sanggup membayar tol dan kos bahan api berbanding tambang pengangkutan awam,” kata kajian itu.

Kajian turut dijalankan berhampiran tol dengan lokasinya bersambung antara kawasan tempat tinggal dan tempat kerja.

Selain Seri Kembangan, responden lain mempunyai pilihan menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja (terutama di Petaling Jaya) namun memilih untuk memandu.

Daripada 4,689 sampel yang dikumpul mengikut kawasan, kajian mendapati 88.4 peratus responden di Ampang memandu sendirian, Sungai Buloh (93.4 peratus), Seri Kembangan (82.97 peratus) dan Petaling Jaya (86.4 peratus).

“Dalam kajian kualitatif kami, jelas ramai responden lebih suka memandu sendirian kerana keselesaan dan menghabiskan pagi untuk berfikir, mendengar podcast dan muzik kegemaran dengan tenang.

“Mereka lebih suka melakukan perkara ini tanpa perlu melayan penumpang rakan sekerja.

“Alasan lain adalah pengangkutan awam masih sukar digunakan manakala ada yang mengadu kos tempat letak kereta di stesen LRT atau MRT sama dengan kos tempat letak kereta di tempat kerja.

“Beberapa responden mengadu apabila mereka mengatur melakukan perkongsian kereta, rakan sering bangun lewat, menyebabkan pemandu juga lambat ke tempat kerja,” katanya.

Jika dibanding dengan negara lain, kajian tahun lalu mendapati Amerika Syarikat (AS) mempunyai purata kadar pemandu tunggal 66 peratus, manakala 34 peratus lagi berkongsi kereta.

Di Sepanyol, kira-kira 56 peratus pekerja berulang-alik dengan cara memandu, manakala 44 peratus menggunakan pengangkutan awam dan di Belgium, jumlah pemandu tunggal berkurangan pada kadar lima peratus setahun kepada kira-kira 30 peratus ketika ini.

Katanya, kajian mendapati, kaitan terbesar menyumbang kepada pemandu tunggal adalah kos bahan api dan tol.

“Kos bahan api dan tol yang agak berpatutan di Malaysia tidak cukup kuat untuk mendesak orang ramai berkongsi kereta dan menaiki pengangkutan awam.

“Kos bahan api dan menghadapi trafik tidak sebesar kos duduk dan mendengar rakan sekerja anda mengadu mengenai majikan.

“Bagaimanapun, jika kerajaan menaikkan kos tol dan bahan api, yang paling banyak terjejas adalah kumpulan B40, menjadikan pemanduan bersendirian hanya mampu dilakukan golongan kaya,” katanya.

Cent-GPS mengingatkan pembuat dasar supaya tidak terburu-buru menghapuskan tol atau meneruskan subsidi bahan api, malah pengurangan kadar tol adalah langkah ketinggalan.

“Tol perlu dilihat berfungsi dalam membangunkan negara, selain boleh mengawal dan mengurangkan bilangan kenderaan di jalan.

“Dalam kita menuju dekad mata pencarian ditentukan oleh perubahan iklim, langkah ini perlu diambil untuk ke arah lebih baik walaupun ia tidak popular,” katanya.

Leave a Reply

Top