MH Online

Laman Suara Rakyat

Rakyat Mahu Lihat UMNO Berubah

Rakyat akan kembali menyokong UMNO jika suara akar umbi didengari dan dihormati, kata calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, rakyat juga mahu melihat UMNO memilih pemimpin yang dekat di hati mereka dan mampu membawa perubahan, berbeza daripada amalan lama yang jelas memperlihatkan kuasa mutlak pimpinan tertinggi.

“UMNO perlu memahami isyarat rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Perubahan dicadangkan bukan hanya di bibir saja, tetapi membawa perubahan struktur utama UMNO.

“Perkara pertama saya akan buat sekiranya diberi mandat sebagai presiden adalah memastikan kuasa dalam UMNO tidak lagi dipusatkan untuk presiden saja,” katanya pada Sesi Ramah Mesra Bersama UMNO Sabah di sini, malam tadi.

Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, parti itu perlu mengembalikan kuasa kepada rakyat dan mewujudkan persaingan pimpinan tertinggi untuk mendapatkan pemimpin yang kuat bagi menyuburkan demokrasi dalam parti.

“Ini pertandingan keluarga, bukan untuk pecahkan parti, tetapi untuk kuatkan UMNO. Sekiranya saya tidak menang, saya akan beri sokongan penuh kepada presiden yang dipilih dan terus taat setia kepada UMNO.

“Saya sedar sebagai calon paling muda, saya perlukan panduan dan hikmah dari negarawan Tengku Razaleigh Hamzah dan ‘bos’ Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ini penting kerana pemilihan ini adalah medan memperkukuhkan UMNO,” katanya.