Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Rakyat Lebih Penting’

‘Rakyat Lebih Penting’

KUALA LUMPUR, “Saya tiada masa berpolitik, sekarang saya hanya mahu berkhidmat untuk rakyat.”

Demikian kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika ditanya pemberita mengenai krisis dalaman terbaharu Parti BERSATU yang melibatkan beberapa pemimpin berpengaruh.

Kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, beliau ketika ini lebih mementingkan mengenai kebajikan dan kesusahan rakyat, khususnya mereka yang terkesan teruk akibat penangan COVID-19.

“Saya lebih pentingkan untuk bercerita mengenai rakyat berbanding politik. Rakyat ketika ini teruk terkesan dengan COVID-19 dan itu yang lebih penting,” katanya selepas kunjungan di Pasar Terbuka Jinjang, tadi.

Semalam, Parti BERSATU menggugurkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi Ahli Parlimen dari parti itu.

Empat Ahli Parlimen itu ialah Timbalan Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Leave a Reply

Top