MH Online

Laman Suara Rakyat

Pyongyang Sifatkan Undangan Trump ‘Menarik’

Pyongyang Sifatkan Undangan Trump 'Menarik'

Korea Utara berkata hari ini, undangan mengejut Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk bertemu Kim Jong-un dilihat ‘menarik’ namun pihaknya masih belum menerima sebarang jemputan rasmi.

Terdahulu di Twitter, Trump secara spontan mengundang pemimpin Korea Utara itu untuk bertemu di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang terletak di antara Korea Utara dan Selatan.

“Kami melihat undangan itu sebagai satu cadangan yang sangat menarik, tetapi kami masih belum menerima sebarang jemputan rasmi,” kata agensi berita rasmi, KCNA yang memetik Naib Menteri Luar, Choe Son Hui.

Sekiranya Jong-un menerima tawaran berkenaan, ia bakal menjadi pertemuan ketiga di antara kedua-dua pemimpin yang pernah berseteru itu, dalam usaha menamatkan program nuklear di semenanjung Korea.

Trump dijangka berkunjung ke Seoul Korea Selatan sebaik sidang kemuncak G20 di Osaka Jepun selesai.

Kedua-dua pemimpin itu pernah bertemu di Singapura pada Jun 2018 dan Hanoi pada Februari lalu namun masih gagal mencapai kata sepakat. – AFP