Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Putrajaya Akan Dibangunkan Bandar Mesra Sukan

Putrajaya Akan Dibangunkan Bandar Mesra Sukan

PUTRAJAYA, Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini akan dibangunkan sebagai ‘Bandar Mesra Sukan’ dilengkapi infrastruktur sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata antara infrastruktur sukan dan rekreasi yang akan dibina termasuklah pusat pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), padang bola sepak komuniti dan stadium ragbi.

Beliau berkata kementeriannya turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk membangunkan projek berkenaan.

“Kementerian ini turut mendapat kerjasama KBS dan PPj untuk menyediakan empat padang bola sepak komuniti dengan keluasan 6.4 hektar yang ditempatkan di Presint 5.

“Kerjasama berkenaan turut membabitkan projek pembangunan Stadium Ragbi Nasional baharu di Presint 13 berkeluasan sama dengan padang bola komuniti serta kemudahan latihan dan pertandingan dengan kapasiti pengunjung seramai 5,000 orang.

“PPj akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bagi pembangunan Kompleks Sukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan di Presint 13.

“Kompleks di kawasan seluas 2.8 hekar ini turut menyediakan kemudahan sukan olahraga dan balapan dan ia secara tidak langsung akan menjadi pusat latihan atlet Wilayah Persekutuan untuk menjalani latihan secara intensif selain memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, bagi pusat pentadbiran untuk FAM, AFF dan AFC pula, beliau berkata ia dibina di atas tanah berkeluasan hampir 17 hektar di Presint 5.

“Sebelum ini PPj sudah memeterai pertukaran dokumen dengan tiga persatuan berkenaan, dan ia turut membangunkan sebuah stadium bola sepak baharu milik AFC berkapasiti 10,000 penonton, sebuah ibu pejabat FAM berserta pusat latihan bola sepak kebangsaan bagi kegunaan pemain senior dan junior kebangsaan, ibu pejabat AFF serta kemudahan sukan lain bertaraf dunia.

“Selain pembangunan, pemeteraian perjanjian berkenaan turut menjalinkan kerjasama strategik yang meliputi bidang perkongsian kepakaran, kemudahan dan fasiliti, penempatan latihan industri, penganjuran klinik sukan, latihan, kursus, ceramah, bengkel, seminar, khidmat jurulatih dan pengadil, khidmat perundingan, tajaan, dana, sumbangan dan biasiswa,” katanya.

Annuar berkata, kerjasama strategik itu juga turut diperluaskan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara MSWP sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan sukan di seluruh Wilayah Persekutuan bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya (UM).

“Ini bagi memastikan hasrat Wilayah Persekutuan untuk menjadi sebuah kuasa besar dalam bidang sukan dapat dicapai dan secara tidak langsung dapat memberi impak yang besar kepada pembangunan sukan negara terutama dalam aspek perkembangan pendidikan atlet dan penyelidikan sukan.

“Malah dengan adanya pembangunan ini ia dapat mewujudkan peluang baharu kepada masyarakat terutamanya dalam bidang perkhidmatan perhotelan, perniagaan, makanan dan minuman,” katanya.

Leave a Reply

Top