MH Online

Laman Suara Rakyat

Puteri Umno Desak Kerajaan Luluskan Pengeluaran KWSP

Puteri Umno Desak Kerajaan Luluskan Pengeluaran KWSP

KUALA LUMPUR, Puteri UMNO hari ini mendesak kerajaan supaya meluluskan kebenaran pengeluaran simpanan daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, Puteri UMNO berdiri teguh dengan pendiriannya berdasarkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

“Pencarum berhak diberi kebenaran mengeluarkan 30 peratus daripada akaun satu KWSP mereka dengan jumlahnya dikreditkan secara bulanan dalam tempoh satu atau dua tahun dengan had maksimum RM10,000.

“Selain dapat membantu bantu ekonomi rakyat, ia secara tidak langsung dapat merancakkan ekonomi domestik,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, walaupun hasil kajian yang telah dijalankan menunjukkan lebih 80 peratus pencarum bersetuju dengan cadangan itu, namun beliau merasa kerajaan tidak sehaluan dengannya.

“Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini (esok), saya dimaklumkan kemungkinan kerajaan tidak akan benarkan pengeluaran KWSP seperti yang diperlukan rakyat dalam situasi pandemik koronavirus (Covid-19) sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam kenyataannya hari ini berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan cadangan melanjutkan tempoh moratorium untuk tempoh enam bulan atau sebahagian daripadanya.

Menurutnya, seramai 43 ahli Parlimen BN mahu Muhyiddin mempertimbangkan untuk meluluskan pengeluaran sejumlah wang daripada akaun satu KWSP bagi mereka yang layak dan memenuhi syarat tertentu.