Putera Mahkota Jepun, Putera Mahkota Naruhito hari ini memulakan lawatan rasmi lima hari ke Malaysia dengan meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sebagai tanda penghormatan kepada pejuang negara yang terkorban.

Putera Mahkota Naruhito tunduk dan bertafakur selepas meletakkan kalungan bunga putih di hadapan struktur itu yang dibina bagi mengenang perajurit yang gugur ketika berjuang untuk negara, yang terletak berhampiran Taman Tasik Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, yang juga Menteri Pengiring.

Dibina pada 1966 dan berdiri setinggi 15.5 meter, monumen yang terdiri daripada tujuh anggota tentera yang mengibarkan Jalur Gemilang, merupakan satu daripada patung gangsa terbesar di dunia.

Ini merupakan lawatan pertama Naruhito ke Malaysia sejak baginda dimasyhurkan sebagai Putera Mahkota Jepun pada 1991.

Baginda tiba di Malaysia semalam.

Lawatan Putera Mahkota Jepun itu juga merupakan kemuncak sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.

Naruhito, putera sulung Maharaja Akihito, hari ini dijadualkan untuk menyampaikan kuliah khas di Universiti Malaya dan melawat Pusat Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Baginda turut dijadualkan menghadiri majlis bagi meraikan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia-Jepun di sebuah hotel terkemuka petang ini.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *