Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pusat R&D Sauk Bakal Beri Manfaat Kepada Petani

Pusat R&D Sauk Bakal Beri Manfaat Kepada Petani

PADANG RENGAS, Kewujudan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) seluas 22 hektar di Sauk, dekat sini, milik Syarikat Enza Zaden, yang merupakan pusat pembiakan benih sayur-sayuran tropika pertama di ASEAN, bakal memberikan manfaat kepada petani di negeri ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pusat penyelidikan itu memainkan peranan yang besar untuk menghasilkan benih bermutu tinggi selain menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan berkhidmat di ladang pembiakan utama di rantau ini.

Katanya, syarikat itu yang merupakan pengeluar benih sayuran keempat terbesar di dunia telah mencapai jumlah jualan tahunan sebanyak RM1 bilion selain berjaya membawa pelaburan asing melebihi RM49 juta ke Malaysia sejak tahun 2015.

“Kami sedar petani berskala kecil luar bandar umumnya miskin dengan pengetahuan terhad untuk menghasilkan hasil yang tinggi kerana mereka mengekalkan amalan kerja tradisional.”

“Sauk dipilih oleh Enza Zaden selepas satu kajian keperluan alam sekitar, Sauk merupakan lokasi yang sempurna untuk pembiakan biji sayuran dan Enza Zaden mempunyai pengalaman 80 tahun dalam pembiakan sayur-sayuran, pengeluaran benih dan pembahagian benih global,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat R&D berkenaan di Kampung Biok, Sauk, dekat sini hari ini.

Teks ucapan Menteri Besar itu dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri Datuk Saarani Mohamad.

Zambry berkata kewujudan pusat berkenaan juga bakal menjadikan negara ini sebagai penyumbang utama kepada industri benih sayuran tropika global.

“Program ini merupakan satu daripada komponen yang dikenal pasti dalam Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menggariskan agenda peningkatan pertanian di NCER dengan memperkenalkan teknologi pertanian bertaraf dunia melalui peningkatan aktiviti kajian dan pembangunan yang diterajui sektor swasta.”

“Kerajaan negeri dan persekutuan bekerja rapat melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), iaitu pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyediakan arahan, merangka dasar dan strategi yang berkaitan dengan pembangunan sosio ekonomi di NCER untuk membangunkan sektor pertanian yang bertujuan mengubah kaedah konvensional kepada amalan pertanian moden termasuk teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq berkata projek ini merupakan satu daripada komponen untuk memodenkan sektor pertanian di wilayah ini.

Katanya, kerjasama antara NCIA dan syarikat berkenaan akan membuka peluang dan menjadi pemangkin dalam pengubahsuaian Malaysia menjadi penyumbang utama kepada industri benih global.

Leave a Reply

Top