MH Online

Laman Suara Rakyat

PUNB Kurangkan 50% Kadar Sewa Selama Tiga Bulan

PUNB Kurangkan 50% Kadar Sewa Selama Tiga Bulan

KUALA LUMPUR, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan pengurangan 50 peratus pembayaran sewa kepada 220 penyewa premisnya selama tiga bulan bermula Oktober ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata bantuan itu adalah lanjutan daripada pemberian pengecualian sewa sepenuhnya kepada semua penyewa premisnya selama enam bulan sejak dari April lalu.

Katanya, memandangkan pengecualian sewa itu akan berakhir bulan depan, PUNB memutuskan untuk melanjutkan lagi bantuan dengan menawarkan pengurangan sewa sebanyak 50 peratus untuk tiga bulan lagi.

“Diharapkan langkah ini mampu membantu penyewa yang mungkin terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk meneruskan operasi perniagaan mereka.

“Kami juga bersedia untuk mengurangkan lagi kadar sewa itu seandainya penyewa masih tidak mampu untuk membayar sewa pada Oktober ini dan mereka perlu mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan.

“PUNB telah memberi sumbangan sebanyak RM5.3 juta kepada semua penyewa dari segi pemberian pengecualian sewa selama enam bulan ini. Untuk lanjutan tiga bulan ini, sumbangan yamg diberikan pula adalah sebanyak RM1.379 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke premis perniagaan milik PUNB di Pusat Industri Seri Rampai dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu Noh turut mengumumkan pengenalan skim baharu di bawah PUNB iaitu skim sewa untuk dimiliki atau ‘rent to own’.

Katanya, skim baharu itu bertujuan membantu lebih banyak usahawan Bumiputera untuk memiliki hartanah mereka.

“Perincian mengenai skim ini termasuk syarat permohonan, kadar faedah dan tempoh pembiayaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Tambahnya, PUNB memperuntukkan sejumlah RM25 juta pada tahun ini bagi membeli hartanah termasuk bangunan komersial dan kilang di lokasi strategik untuk disewakan kepada peniaga Bumiputera.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM5 juta sudah dibelanjakan pada separuh pertama tahun ini dan dijangkakan bakinya akan dibelanjakan sepenuhnya pada separuh kedua ini,” katanya.