Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pulangkan Semula Duit 1MDB

Pulangkan Semula Duit 1MDB

PUTRAJAYA, MCA digesa memulangkan semula dana sebanyak RM16.5 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diterima parti itu daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata selain MCA, parti lain yang dikatakan menerima dana daripada 1MDB turut digesa untuk memulangkannya.

Beliau berkata, dana itu yang didakwa tidak diketahui dari mana sumbernya oleh kepemimpinan MCA terdahulu dan ketika ini, secara jelas adalah dari 1MDB.

“Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tidak boleh sekadar cuci tangan dalam isu dana RM16.5 juta dalam akaun MCA. Tidak boleh berkata bahawa pada waktu itu beliau bukan presiden atau timbalan presiden parti.

“Beliau tidak boleh bersikap seperti ini sebaliknya perlu memikul tanggungjawab dan melakukan siasatan” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek kepada Sekolah Pondok Berdaftar di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Guan Eng berkata demikian bagi merujuk wawancara Ka Siong seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam yang dipetik berkata, sejak beliau menjadi Timbalan Presiden MCA bermula 21 Disember 2014, tidak ada satu sen pun duit 1MDB yang diterima parti berkenaan.

Laporan media sebelum ini turut menyebut bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek pada Oktober tahun lalu mengakui BN mengagihkan secara keseluruhan RM470 juta kepada komponen parti itu menjelang PRU-13 dengan MCA adalah antara penerimanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Ka Siong perlu mengikut aturan undang-undang dan memulangkan duit berkenaan kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana itu tidak boleh lari dan bersembunyi dalam hal berkenaan.

“Saya berpendapat, pihak 1MDB tahu apa hendak dibuat terhadap MCA kelak, jadi, kita berharap parti itu mengambil iktibar terhadap kekalahan BN pada pilihan raya lalu dan berterus-terang mengenai isu 1MDB. Ambillah tanggungjawab penuh. Kenapa mahu sembunyi dan lari,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai laporan Wall Street Journal hari ini yang mendakwa China mengadakan perbincangan tertutup mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan membuat tawaran untuk membantu 1MDB sebagai sebahagian perjanjian inisiatif Belt and Road (BRI) republik itu, Guan Eng berkata, beliau perlu meneliti laporan itu sebelum boleh memberikan ulasan.

“Lebih elok kalau saya dapat akses kepada minit mesyuarat tertutup itu, seperti apa yang dilaporkan Wall Street Journal,” katanya.

Leave a Reply

Top