Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PTPTN Masih Mampu Beri Pinjaman

PTPTN Masih Mampu Beri Pinjaman

ARAU, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengakui masih mampu menawarkan pinjaman kepada semua pemohon yang akan menyambung pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi tahun ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya sebagai sebuah institusi yang menawarkan pinjaman pelajaran bertanggungjawab memastikan pelajar dapat menyambung pelajaran tanpa menghadapi masalah kewangan.

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan antara RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setahun dengan keupayaan menawarkan pinjaman kepada hampir 190,000 pelajar yang memohon.

“PTPTN masih mempunyai dana yang mencukupi kerana pinjaman terbabit dijamin kerajaan maka tidak timbul isu PTPTN mampu atau sebaliknya tetapi apa yang perlu difikirkan, sejauh mana kerajaan mampu menanggung hutang termasuk yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Kita berkeyakinan semua pemohon yang berkelayakan akan dapat menerima pinjaman mengikut kelayakan masing-masing dengan jumlah yang diberi berbeza.

“Atas faktor ini juga, kita tekankan peminjam terdahulu untuk bayar semula pinjaman mereka kerana apabila gagal berbuat demikian, sudah pasti sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada PTPTN,” katanya yang ditemui selepas program Jom Masuk Universiti di Kolej Vokasional Arau di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sama ada PTPTN masih mengguna pakai dasar kerajaan terdahulu dalam mengutip kembali pinjaman, Wan Saiful berkata, pihaknya masih tidak mengubah apa-apa dasar sedia ada.

“Bagaimanapun kita dalam proses mengkaji dasar atau mekanisme baharu sebelum ia dibentangkan untuk maklum balas pada April ini.

“Selepas mekanisme kutipan yang dicadangkan sebelum ini dipertikai, kerajaan membekukan ia dahulu maka sudah pastinya, kita mengambil peluang untuk mengkaji semula secara terperinci bagi mengurangkan tekanan peminjam.

Katanya, ada pelbagai cadangan yang akan dipertimbang dan dibincangkan termasuk menyenarai hitam peminjam ke luar negara yang gagal membayar balik pinjaman dilaksana semula.

Leave a Reply

Top