Anda di sini!
Utama > Ekonomi > PSA Group Beli Majoriti Saham Kumpulan Naza

PSA Group Beli Majoriti Saham Kumpulan Naza

PUTRAJAYA, Perkongsian yang dijalinkan antara syarikat Malaysia dengan firma asing terbukti menyumbang kepada pelbagai kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan pada 2010, kata Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata kerjasama itu juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan, membawa kepada perkongsian pengetahuan, menambah kemahiran, kecekapan dan aspek bakat selain meningkatkan taraf kehidupan dan pendapatan rakyat.

“Bagaimanapun, anda tidak dengar mengenai perkara ini (manfaat perkongsian) daripada pihak pembangkang. Setiap kali ada pihak asing yang berhasrat ke sini, mereka (pembangkang) mendakwa kita mahu menjual Malaysia.

“Kita tidak melakukan sedemikian. Pembangkang ini yang terus mahu memperdayakan rakyat sedangkan kita sentiasa berusaha untuk membantu serta membangunkan negara ini,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian sebelum menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian jualan saham dan perjanjian usaha sama antara Kumpulan Naza dan firma Perancis, PSA Group membabitkan perkongsian operasi kilang Naza Automative Manufacturing (NAM) di Gurun, Kedah.

NAM menyasarkan pengeluaran sebanyak 18,000 unit kereta pada 2019 dan disusuli sejumlah 21,000 unit pada 2020 yang masing-masing menjana perolehan sebanyak RM724 juta dan RM967 juta.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza S M Nasarudin S M Nasimuddin dan Naib Presiden Eksekutif Kumpulan PSA (China dan Asia Tenggara) Carlos Gomes.

Perdana Menteri berkata, selain mewujudkan berjuta-juta  pekerjaan, ETP turut membawa kepada pertumbuhan mantap termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencecah 5.9 peratus pada tahun lepas.

Malah, pendekatan bertanggungjawab yang dilaksanakan oleh kerajaan turut mendapat pujian pelbagai pihak antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan terkini daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kata beliau.

Najib turut menyifatkan pakatan  antara firma China, Zhejiang  Geely Group Holding Co dan Proton Holdings Bhd sebagai satu lagi bukti manfaat perkongsian syarikat Malaysia dengan aspirasi global.

“Justeru, saya yakin perkongsian yang dijalinkan oleh Kumpulan Naza dengan pihak PSA dari Perancis ini bakal mencatat satu lagi kisah kejayaan dan membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak serta Malaysia,” kata beliau.

Selain itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan kepada PSA Group bahawa pentadbiran beliau akan meneruskan komitmen untuk menyokong syarikat-syarikat yang melabur dalam aspek teknologi baharu sejajar usaha pemodenan industri kenderaan bermotor.

“Keputusan anda memilih Malaysia merupakan petanda keyakinan anda terhadap kami, usaha pembaharuan serta aspek ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan. Kami berterima kasih terhadap keyakinan ini serta faedah yang bakal diraih oleh syarikat anda dan manfaatnya kepada rakyat Kedah serta semua rakyat Malaysia. Saya pasti anda tidak akan menyesalinya,” kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Najib turut menyelar janji-janji pembangkang, termasuk mengenai langkah menggantikan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM44 bilion tahun lepas.

“Rancangan mereka itu akan menyebabkan penarafan kredit negara ini diturunkan, kos pinjaman meningkat dan Malaysia juga akan kehilangan tarikan sebagai destinasi pelaburan langsung asing. Malah, ini akan menyebabkan rakyat biasa terjejas serta sengsara,” kata beliau.

Perdana Menteri menegaskan, pihak kerajaan sebaliknya sentiasa menitikberatkan kepentingan jangka panjang rakyat negara ini.

Ini termasuk memperkenalkan Dasar Automotif Nasional pada 2014 untuk memastikan pengeluar kereta temparan menjadi lebih kompetitif dan berdaya tahan.

“Kita sentiasa peka dengan kepesatan perubahan teknologi dalam industri kenderaan bermotor ini,” kata Perdana Menteri.

Leave a Reply

Top