MH Online

Laman Suara Rakyat

Proton, Perodua Perlu Model Baharu

Proton, Perodua Perlu Model Baharu

KUALA LUMPUR, Kerajaan menggesa pengeluar kenderaan nasional, PROTON dan PERODUA memperkenalkan model baharu yang berpotensi untuk pasaran antarabangsa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pengeluar kenderaan nasional perlu memperkenalkan model baharu yang dilengkapi teknologi dan reka bentuk terbaharu bagi membolehkannya diterima di pasaran antarabangsa.

“Kita kena mereka bentuk model baharu dengan teknologi terkini yang boleh dieksport ke luar negara. Ini kerana jika model terbabit hanya untuk pasaran tempatan, ia agak sukar untuk dijual kerana kurang mendapat sambutan.

“Model baharu kena jadi lebih baik dan mampu bersaing dengan model antarabangsa yang lain. Jadi mereka kena memperkenalkannya secepat mungkin.

“Jika tanya kepada saya bila jangkaan model terbabit boleh dieksport, saya akan katakan hari ini juga. Namun terpulang kepada pengurusan PROTON dan Perodua,” katanya selepas melawat Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) di sini semalam.

Tun Dr Mahathir meluangkan masa selama 40 minit melawat pameran KLIMS18 dan antara gerai pameran yang dilawatinya adalah PROTON, PERODUA, PETRONAS, Honda dan Toyota.

Beliau berkata, kebanyakan model baharu yang dipamerkan di KLIMS18 menunjukkan kemajuan dalam automotif dari segi teknologi dan reka bentuk.

Katanya, ini termasuk model baharu PROTON yang kemajuan dan percaya industri automotif dapat terus menunjukkan peningkatan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata pihaknya percaya kerajaan akan terus memberi keutamaan dalam pembangunan industri automotif negara.

Aishah berkata, Tun Dr Mahathir juga menunjukkan minatnya dan teknologi baharu automotif dan mahu teknologi itu diguna pakai di negara ini.

“Tun Dr Mahathir menunjukkan minat dan beliau sendiri lebih tahu tentang teknologi automotif.

“Sepanjang lawatan Tun ke KLIMS18, apa yang menjadi perhatiannya adalah bila model baharu yang diperkenalkan (oleh pengeluar kenderaan nasional) dapat dieksport manakala bagi model jenama antarabangsa, beliau ingin tahu bila pemasangannya dapat dibuat di Malaysia,” katanya.

Bertemakan ‘Beyond Mobility’, KLIMS18 yang bermula 23 November hingga 2 Disember di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), anjuran bersama MAA dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

Sebanyak 74 pempamer menyertai pameran kali ini.

Sehingga hari ini, KLIMS18 menarik seramai 200,000 pengunjung dan yakin mampu mencapai sasarannya 350,000 pengunjung.

Pameran yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 itu juga disertai 20 jenama pengeluar kereta dan tiga motosikal, manakala baki selebihnya adalah syarikat media, universiti dan yang berkaitan dengan automotif termasuk  aksesori.

Aishah berkata, acara yang dianjurkan buat kali sembilan di negara ini juga menawarkan hadiah menarik sepanjang 10 hari acara berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

“Paling dinantikan adalah cabutan bertuah utama yang menawarkan tiga kereta iaitu Toyota C-HR, Honda City Hibrid dan Perodua Myvi. Selain itu kita ada tawarkan pelbagai lagi hadiah menarik kepada pengunjung,” katanya.

Antara tarikan KLIMS’18 adalah pelancaran kenderaan dan produk automotif dan prebiu model kenderaan: kereta konsep; Sup-Up Car (6 supercar & 1 limusin); Innovation Zone (6 prototaip kenderaan dari universiti); Down Memory Lane Zone (10 Kereta Vintaj & Klasik); dan Art of Speed Zone (6 motosikal yang dibuat khas).