Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Projek Tebatan Banjir Sg Golok Ditangguh

Projek Tebatan Banjir Sg Golok Ditangguh

TUMPAT,  Kerajaan Persekutuan akan bertemu penduduk yang terkesan dengan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok di Tumpat bagi mengatasi masalah ‘banjir termenung’ terutama di sekitar Pengkalan Kubor di sini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata projek tebatan banjir sepanjang kira-kira 26 kilometer berharga RM300 juta itu sepatutnya dirasmikan pembinaannya dalam masa terdekat.

“Kita akan mengadakan pertemuan antara penduduk serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memberi penerangan berhubung projek itu.

“Peruntukan untuk projek tersebut telah diluluskan, namun pembinaannya terpaksa ditangguhkan hingga masalah ini selesai,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan calon Barisan Nasional (BN) Tumpat di sini, hari ini.

Banjir termenung merujuk kepada fenomena air tidak dapat mengalir keluar melalui sistem saliran, sebaliknya bertakung untuk satu tempoh lama.

Disember lepas, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok bermula di Pengkalan Kubor hingga ke Kuala Jambu di Tumpat bermula awal tahun ini bagi mengatasi masalah ‘banjir termenung’ di jajahan itu.

Beliau dipetik sebagai berkata tebatan setinggi satu dan tiga meter bernilai RM300 juta itu dijangka dibina mulai Februari tahun ini dan dijadualkan siap dalam masa dua tahun setengah.

Ditanya mengenai perkembangan semasa sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata tanda-tanda positif untuk Kelantan kembali ke pangkuan parti itu dilihat semakin jelas.

Ini, katanya berdasarkan tahap sokongan masyarakat yang semakin tinggi terhadap BN ketika selain perpaduan dalam kalangan anggotanya yang semakin bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Contohnya di Parlimen Tumpat ini, ada anggota PAS yang menyuarakan hasrat secara terbuka atau tertutup untuk memberi sokongan kepada BN pada PRU14 ini kerana perkembangan dalam parti itu ketika ini.

“Kita juga tidak mempunyai masalah dengan calon-calon yang ditampilkan kali ini kerana mendapat dokongan daripada semua pihak. Calon, sama ada pada peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Leave a Reply

Top