Anda di sini!
Utama > Ekonomi > Program Usahawan Muda MYEP Berjaya Lahir Kontraktor Muda

Program Usahawan Muda MYEP Berjaya Lahir Kontraktor Muda

KUALA LUMPUR, Seramai 54 daripada 60 peserta berjaya menamatkan latihan Program Usahawan Muda MYEP II setakat ini dan berjaya menubuhkan 24 buah syarikat.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata program dengan kerjasama Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) itu bertujuan melahirkan kontraktor muda dalam kalangan siswazah Bumiputera.

“Berikutan kejayaan Program Usahawan Muda MRT (MYEP) pertama melahirkan kontraktor muda dalam kalangan siswazah bidang pembinaan, ia telah dikekalkan dan dikenali sebagai Program Usahawan Muda (MYEP II),” katanya ketika berucap pada Majlis Cabutan Undi Untuk Subkontraktor MRT Corp bagi Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak lima kontraktor Bumiputera berjaya mendapat kontrak bagi projek MRT laluan berkenaan.

Menurut Fadillah, MYEP II merupakan program 12 bulan merangkumi sesi latihan intensif profesional pembinaan oleh CIDB, kursus latihan pengurusan dan motivasi oleh PUNB dan seterusnya latihan amali di tapak pembinaan di bawah pengurusan MRT Corp dan rakan pelaksana projek.

“Pembiayaan projek daripada PUNB itu diberi kepada perantis yang dinilai pihak MRT Corp untuk melaksanakan sub-pakej kontrak kerja pembinaan bagi laluan SSP.”

Selain itu, Fadillah berkata sasaran penyertaan syarikat Bumiputera dalam pembinaan laluan SSP adalah 45 peratus daripada jumlah nilai kontrak diberikan berbanding 43 peratus bagi Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

“Antara pencapaian penyertaan syarikat Bumiputera dalam projek laluan SSP adalah menerima pakej kerja bernilai RM14 billion,” katanya.

Leave a Reply

Top