Khabar angin mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dikatakan akan diadakan lebih awal daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 hanyalah spekulasi disebabkan ia masih di peringkat kajian Barisan Nasional (BN) pusat dan negeri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan untuk melaksanakan pilihan raya negeri bukan hanya bergantung kepada keadaan politik di Sabah, sebaliknya di seluruh negara.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN, belum memuktamadkan sebarang kajian yang diperoleh berdasarkan pelbagai maklum balas daripada kajian-kajian empirikal yang telah dilakukan.

“Implikasi positif juga harus dijadikan keutamaan dalam mempertimbang keputusan untuk mengadakan pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan secara serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Marudu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili selaku anggota Parlimen Kota Marudu dan Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata beliau telah menetapkan untuk melakukan lawatan kerja ke Sabah dua kali sebulan seperti dijanjikan kepada kerajaan negeri dan Badan Perhubungan UMNO negeri.

Menurutnya, beliau akan sekali lagi datang ke Kota Marudu enam bulan dari sekarang untuk melihat segala pembangunan yang dijanjikan dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Selain itu, kita juga mahu melihat bahawa kesiapsiagaan jentera BN di Kota Marudu serta kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri lain,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *